Penubuhan Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) adalah salah satu dari usaha kerajaan Negeri Pahang untuk memutihkan tanah-tanah di kawasan penempatan atau perkampungan Orang Asli yang diceroboh oleh syarikat atau individu.
Usaha ini juga termasuk untuk mengekang sebarang pembangunan oleh agensi kerajaan seperti RISDA dan FELCRA yang tidak mematuhi kepada Enakmen Tanah Negeri.
“Kerajaan yakin dan percaya dengan kaedah begini akan memberi faedah yang terbaik kepada masyarakat Orang Asli di samping menjamin hak tanah tersebut kepada mereka.”
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Beliau turut mendedahkan sehingga kini sebanyak 19 daripada Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas Pekan telah dimajukan oleh pihak RISDA Plantation Sdn Bhd.
Menurutnya juga, pihak kerajaan telah mengadakan mesyuarat penyelarasan sebagai tindakan pengumpulan maklumat dan pemutihan tanah-tanah yang telah dimajukan.